Media sosial telah mengubah tamadun manusia dengan mengubah cara manusia bersosial. Ia bukan sahaja mengubah cara manusia berinteraksi dengan keluarga, rakan dan komuniti, malah turut membuatkan bidang perniagaan perlu beradaptasi dengan taktik pemasaran yang baharu untuk kekal relevan dengan dunia semasa.
Berdasarkan kajian, kira-kira 26.8 juta rakyat Malaysia (78.5% daripada populasi) menghabiskan masa hampir 2 jam 47 minit menggunakan media sosial. Jika dilihat daripada kaca mata seorang ahli perniagaan, angka ini adalah sebuah potensi besar dan peluang yang perlu direbut.
Dengan peningkatan pemilikan telefon pintar oleh rakyat Malaysia, ditambah pula dengan ketersampaian jaringan internet yang semakin baik, membuatkan penggunaan media sosial semakin meledak. Pada masa kini, 2 daripada 3 rakyat di Malaysia membeli keperluan mereka secara dalam talian menggunakan telefon pintar masing-masing. Data ini menjadikan media sosial sebagai platform penting untuk menyasarkan produk dan perkhidmatan anda kepada pelanggan yang berpontensi.
Antara platform media sosial yang semakin mendapat perhatian adalah TikTok. Aplikasi TikTok menjadi pilihan bagi sesiapa sahaja yang mahu mencari hiburan atau inspirasi melalui video pendek yang berfokus kepada kreativiti dan ekspresi diri. Ia juga menjadi lubuk kepada mana-mana pihak yang mahu memasarkan produk atau perkhidmatan mereka, malah menjadi fokus bagi membina kesedaran terhadap jenama masing-masing.
Akhir-akhir ini, TikTok menjadi platform media sosial yang sangat meletup di dunia, bahkan ia sudah menjadi fenomena di Malaysia, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Melalui data terkini yang dihimpunkan oleh Statista setakat penghujung Januari 2023, ia memperlihatkan Malaysia mempunyai seramai 19.3 juta pengguna aktif pada platform TikTok. Ini sekaligus meletakkan Malaysia sebagai antara 20 negara dengan angka pengguna TikTok yang tinggi di dunia.
Perlu diingat, data ini hanya mengambil kira umur pengguna TikTok yang berusia 18 tahun ke atas, hakikatnya para remaja yang berumur bawah 18 tahun juga turut menjadi pengguna TikTok tegar. Fakta ini menjadi asas kukuh bahawa TikTok bakal menjadi tumpuan utama masyarakat tidak lama lagi mengatasi Facebook dan sebagainya. Bahkan peningkatan ketara 32.3% pengguna (4.7 juta orang) antara tahun 2022 hingga awal tahun 2023 juga menjadi kunci mengapa TikTok perlu diberi tumpuan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan yang mahu dipasarkan.