Blog

5 Kunci Khairul Aming Berjaya Memasarkan Sambal Nyet!

Tahukah anda bahawa jualan Sambal Nyet Khairul Aming sudah mencecah RM7.5 juta dalam masa setahun dan angka ini terus bertambah. Bahkan kini beliau sudah memiliki sebuah lagi kilang untuk memproses sambal nyet seluas 14,000 kaki persegi di negeri kelahirannya iaitu Kelantan. Sebenarnya bukanlah suatu yang mudah untuk membina kilang sendiri daripada kosong. Ramai yang mencadangkan kepadanya untuk mengupah sahaja Original Equipment Manufacturer (OEM) untuk menghasilkan sambal. Namun, itu bukan dirinya sebenar kerana kunci pertama yang ada pada Khairul Aming ialah BERANI AMBIL RISIKO.

 

Siapa sebenarnya Khairul Aming ini? Adakah beliau seorang tukang masak profesional yang pernah berkhidmat di mana-mana restoran ternama? Apa yang mengejutkan, sebenarnya Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 31, tidak mempunyai apa-apa latar belakang formal dalam bidang masakan. Memasak cuma hobi yang diminatinya.

 

Bukan sahaja mahir memasak, Khairul Aming sebenarnya seorang pelajar cemerlang. Beliau merupakan graduan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari sebuah universiti di Amerika Syarikat dengan CGPA 3.75. Malah, beliau mendapat anugerah dekan untuk semua semester. Hebat! Setelah pulang ke tanah air, beliau bekerja dalam bidang yang menjadi kegilaan ramai iaitu Oil & Gas.

 

Tentu kita tertanya-tanya, bagaimana seorang jurutera yang sering bergelumang dengan nombor dan matematik ini mampu berjaya dalam bidang masakan? Langsung tiada perkaitan. Maka kunci keduanya, YAKIN DENGAN KEBOLEHAN DIRI. Itulah yang menjadi prinsip Khairul Aming. Jika beliau ragu-ragu, mana mungkin beliau mampu menghasilkan kandungan video yang berkualiti.

 

Bermula pada umur 25 tahun, beliau mencuba nasib mandapatkan wang sampingan dengan cuba menjual makanan kesihatan, pakaian serta menawarkan perkhidmatan membuat templat resume. Namun kesemuanya tidak berjaya. Maka tercetusnya idea untuk membuat video memasak dan memuat naik ke Facebook melalui halaman yang dinamakan Rasapop.

 

Setelah setahun, halaman Rasapop meletup dan berjaya mendapat hampir setengah juta pengikut. Maka Khairul Aming membuat keputusan untuk menjual produk sendiri iaitu Sambal King. Segala R&D dilakukan untuk memastikan sambal terjual. Walaupun sudah mempunyai ramai pengikut ketika itu, namun usahanya itu belum dapat diterjemahkan kepada jualan. Bahkan segala simpanannya habis dibelanjakan untuk menjayakan misi menjual Sambal King tersebut.

 

Adakah Khairul Aming berputus asa dengan kegagalan tersebut? Sudah tentu tidak. Maka kunci ketiganya, TIDAK BERPUTUS ASA. Kegagalan adalah medan untuk beliau menimba pengalaman dan memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada. Pada usia 27 tahun, beliau memulakan semuanya kembali daripada kosong. Strategi kali ini, beliau lebih menonjolkan dirinya sendiri kehadapan berbanding Rasapop.

 

Tatkala sedang membina kejayaan, pada usia 28 tahun, Khairul Aming telah kehilangan selama-lamanya insan tercinta iaitu ayahnya. Namun, dugaan yang bertimpa-timpa ini membentuk beliau menjadi seorang yang lebih kuat untuk berjuang dalam kehidupan. Berbekalkan dengan platform yang ada dan sedikit simpanan, Khairul Aming mengambil suatu tindakan yang sangat besar dalam hidupnya iaitu keluar daripada bidang Oil & Gas dengan matlmat mengubah nasib keluarganya.

 

Akhirnya, tindakan penuh risiko ini membuahkan hasil. Kini, beliau sudah boleh menarik nafas kepuasan setelah berjaya mencatatkan jualan sehingga RM7.5 juta dalam masa setahun. Namun, perlu diingat, populariti yang dikecapi oleh Khairul Aming ini bukanlah datang bergolek sekelip mata. Selama beberapa tahun, beliau gigih membina jenama “Khairul Aming” dengan menghasilkan video pendek masakan yang berkualiti di laman sosial. Inilah kunci keempat, BIJAK MEMASARKAN JENAMA DIRI. Setelah mendapat pengikut yang setia, barulah beliau merancang mengeluarkan produk sendirinya yang kedua selepas Sambal King iaitu Sambal Nyet.

 

 

Mereka yang berjaya dalam perniagaan adalah mereka yang sentiasa mahu belajar dan tidak tersekat di zon selesa semata-mata. SENTIASA BELAJAR, inilah kuncinya yang kelima dan menjadi pesanan Khairul Aming kepada anak-anak muda yang mahu menjadi pempengaruh di media sosial setelah beliau dinobatkan sebagai pemenang Creator Of The Year dalam majlis TikTok Awards Malaysia 2023. Beliau berpesan agar anak muda dapat belajar sehingga habis dahulu agar suatu hari nanti mereka dapat menjadi pencipta kandungan (content creator) yang berkualiti. 

Artikel Disyorkan

© 2024 Digievo Sdn Bhd (1423435-W) Hak Cipta Terpelihara. 

Isi Maklumat Anda

Kami akan Menghubungi Anda Dalam Masa Terdekat