Blog

7 Salah Faham Tentang Pemasaran

Rata-rata kita yang menjalankan perniagaan pasti kecewa apabila jualan tidak mencapai sasaran yang diharapkan walaupun kita sudah melabur, malah mungkin telah melebur ribuan ringgit untuk membuat iklan.

 

Jika diikutkan secara hipotesis, semakin banyak yang kita labur untuk membuat iklan, semakin banyak pulangan berbentuk jualan yang akan kita peroleh. Tetapi, mengapa realiti yang terjadi tidak seindah seperti yang kita mahukan? Inilah sebenarnya salah faham kita dalam dunia pemasaran. Masih ramai yang terkeliru atau tidak begitu jelas dengan konsep, strategi atau prinsip yang terkait dengan dunia pemasaran.

 

Jika salah faham tentang pemasaran ini tidak diperbetulkan, ia bukan sahaja merugikan duit syarikat, malah masa dan tenaga juga turut dibazirkan begitu sahaja tanpa impak yang baik untuk syarikat.

Gagal faham strategi pemasaran

Sedar dengan kepentingan mengenai ilmu pemasaran ini, jom kita betulkan semula pemahaman kita terhadap 7 salah faham yang biasa berlaku dalam dunia pemasaran :

1.  Pemasaran = Iklan

Ilmu pemasaran tidak sekadar berlegar kepada cara kita mengiklankan sesuatu produk atau perkhidmatan. Pemasaran sebenarnya melibatkan kemahiran menyelidik dan menganalisis data, mengenali segmen pelanggan, memahami potensi produk dan perkhidmatan, dapat menentukan harga yang terbaik melalui promosi dan bermacam-macam perkara lagi. Maka, iklan hanyalah salah satu aspek dalam ilmu pemasaran sahaja.

 

2. Semua orang adalah pelanggan berpontensi 

Kita hanya akan membazirkan wang jika kita menganggap semua orang adalah pelanggan berpotensi yang akan membeli produk atau perkhidmatan kita. Kenal pasti sasaran pelanggan yang menyukai tawaran yang diberikan, dan berikan fokus dan layanan yang lebih kepada mereka yang berminat untuk membeli.

 

3.  Murah= Laku keras 

Benarkan harga yang murah bakal melicinkan stok anda? Ya benar! Tetapi anda harus ingat, licin stok tidak bermaksud anda sudah untung besar. Tindakan sebegini sebenarnya merosakkan margin keuntungan yang anda mahukan. Apa yang perlu anda lakukan adalah memberikan harga yang terbaik iaitu ia perlu setimpal dengan nilai produk dan layanan yang anda berikan.

 

4.  Barang baik orang cari 

Ya, pelanggan akan mencari produk atau perkhidmatan yang terbaik untuk menyelesaikan keperluan mereka, namun jika sekadar mengharapkan kualiti produk yang superb dan layanan perkhidmatan yang mantap sahaja tidak cukup. Produk atau perkhidmatan tersebut tidak akan diketahui. Jika tiada orang tahu, bagaimana hendak beli, betul tak?

 

5.  Pemasaran adalah kos, bukan pelaburan 

Dalam sesetengah perniagaan, ada yang berpendapat bahawa kos pemasaran iaitu modal yang perlu dibelanjakan perlu dikawal. Jika kita dapat mengurangkan kos, maka untung akan lebih banyak. Namun sifir sebegini tidak begitu relevan dengan arus perniagaan masa kini yang semakin bersaing. Tanpa ada pemasaran, produk atau perkhidmatan kita akan dilupakan. Maka, ubah minda kita bahawa pemasaran bukanlah kos yang perlu dihindari, tetapi ia adalah sebuah pelaburan. Jika labur sedikit, pulangannya sedikit. Jika labur banyak, pulangannya banyak. Tetapi awas, setiap pelaburan ada risikonya. Kawal risiko itu dengan kemampuan masing-masing.

 

6.  Sekali iklan sudah cukup 

Kadang-kadang kita beranggapan dengan sekali iklan sahaja sudah memadai. Kita lebih tertumpu untuk memastikan suatu iklan itu tersebar kepada seramai mungkin orang. Ya, iklan itu mungkin sudah dalam pengetahuan seramai mungkin orang, tetapi adakah mereka berminat? Berdasarkan kajian, kebanyakan pelanggan memerlukan waktu dan interaksi yang berulang sebelum mereka yakin untuk membeli dengan kita.

 

7.  Pemasaran hanya mahu menjual 

Inilah punca pelanggan menjadi muak. Asyik-asyik bila nampak iklan kita, pelanggan akan rasa kita hanya mahukan wang mereka sahaja. Kita mungkin tidak perasan, namun skeptikal sebegini sudah menghantui minda pelanggan. Walaupun tujuan akhir kita membuat pemasaran adalah untuk mendapatkan jualan, namun jualan bukanlah satu-satunya perkara yang menjadi tujuan kita. Ambil berat dengan kepuasan pelanggan. Bina hubungan jangka masa panjang dengan mereka. Beri kefahaman yang mendalam terhadap keperluan pelanggan. Secara tidak langsung ia akan membantu kita menaikkan jualan.

 

Masih belum terlambat untuk membetulkan salah faham mengenai pemasaran ini. Dunia masa kini sangat pantas berlalu. Ilmu pemasaran juga turut pantas beradaptasi dengan peredaran dunia ini. Sentiasa aktif mencari ilmu dan segera perbetulkan kesilapan yang ada untuk menjadi lebih hebat pada masa mendatang dengan strategi pemasaran yang lebih baik.

Artikel Disyorkan

© 2024 Digievo Sdn Bhd (1423435-W) Hak Cipta Terpelihara. 

Isi Maklumat Anda

Kami akan Menghubungi Anda Dalam Masa Terdekat